Ketahuilah bahawa ilmu manusia didapati menerusi dua jalan iaitu;
- Pengajian Insani
- Pengajian Rabbani
Jalan Yang Pertama
Jalan pertama adalah jalan yang termaklum dan saluran yang dapat dirasa, diakui oleh sekelian ahli akal.
Adapun Pengajian Rabbani terbahagi kepada dua bahagian iaitu;
- Mendapatkan ilmu dengan pengajian dan;
- Mendapatkan ilmu dari dalam iaitu dengan memenuhkan masa dengan berfikir.
Berfikir dari batin sama dengan pengajian pada lahir.
- Pergajian adalah pengambilan faedah seorang peribadi(Al-Syakhos) dari seorang peribadi bahagian(Al-Syakahosul-Juz'ii) manakala
- Berfikir adalah pengambilan faedah suatu Jiwa(Al-Nafs) dari Jiwa Keseluruhan (Al-Nafsul-Kulli). Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul-Kulli) lebih kuat kesannya dan lebih kuat pengajarannya dari sekelian ulama-ulama dan para ahli akal.
Ilmu-ilmu adalah
terhunjam dalam umbi sekelian jiwa secara kekuatan, seperti benih dalam
bumi dan seperti geliga pada dasar lautan atau dalam benda galian.
Pengajian ialah menuntut keluar sesuatu dari kekuatan kepada tindakan(Minal Quwwati Ila Fi'li) dan Mengajar ialah mengeluarkan sesuatu itu dari kekuatan kepada tindakan.
Maka
jiwa pelajar adalah serupa dengan jiwa pengajar dan hampir di antara
keduanya dalam nisbah; seorang Alim dipandang dari segi memberi faedah
seperti seorang petani dan seorang pelajar pula dari segi mengambil
faedah seperti tanah dan ilmu yang mana adalah ketika dalam kekuatan
adalah seperti benih dan ketika dalam tindakan adalah seperti
tumbuh-tumbuhan. Bila sempurna jiwa pelajar, ia menjadi sebagai pokok
yang berbuah atau seperti geliga yang keluar dari dasar lautan.
Bila
kekuatan-kekuatan badaniah dapat menguasai jiwa, pelajar itu perlu
menimbakan pengajiannya, memperlanjutkan waktu, memikul
kesulitan-kesulitan, kepenatan dan berusaha dalam mencari faedah. Bila
Nur Akal menguasai atasa sifat-sifat perasaan, seorang penuntut tidak
memerlukan pengajian yang banyak. Hanya dengan sedikit berfikir atau
sesaat berfikir ia mendapat faedah-faedah yang tiada didapati oleh jiwa
yang kaku dengan pengajian selama setahun. Oleh itu setengah orang
mendapat ilmu-ilmu dengan pengajian dan setengah pula dengan berfikir.
Pengajian
memerlukan pula kepada berfikir, kerana manusia tiada dapat mempelajari
segala sesuatu baik berupa bahagian-bahagian dan
keseluruhan-keseluruhan, juga tidak dapat mempelajari semua maklumat,
bahkan sebahagiannya is dapat dengan pengajaian dan sebahgiannya pula
didapati dengan berfikir. Kebanyakan ilmu-ilmu teorikal dan ilmu-ilmu
teknikal diruntun keluar oleh jiwa-jiwa para Hukama'(bijak pandai)
dengan
- kemurnian zihin
- kekuatan fikiran dan
- ketajaman agakan mereka dengan tidak menambahkan pengajian.
Andaikata manusia tidak
menghasilkan sesuatu menerusi berfikir dari maklumat pertama nescaya
pincanglah masa untuk manusia(bagi mendapatkan sesuatu) dan nescaya
tidak akan hilang kegelapan kejahilan dari Qalbu-qalbu manusia; kerana
jiwa tiada berkuasa mengetahui seluruh persoalannya sendiri baik yang
berupa bahagian atau keseluruhan menerusi pengajian; malah sebahagiannya
ia dapati dengan pengajian dan sebahagiannya pula ditarik keluar dari
hati nurani dengan kemurnian fikiran.
Inilah
cara yang biasa terjadi di kalangan para ulama dan cara inilah yang
menimbulkan kaedah-kaedah segala ilmu hingga seorang arkitek tidaklah
belajar seluruh apa yang diperluinya dalam sepanjang usiannya, malah ia
belajar garisan-garisan kasar ilmunya dan kandungan-kandungannya;
kemudian ia menarik keluar(sesuatu) dan mengqiaskan(menghubungkan)
antara satu dengan yang lain. Begitu juga seorang doktor tidak dapat
belajar penyakit-penyakit setiap orang dengan perinciannya, juga tidak
boleh belajar tentang ubat-ubat untuk mereka; malah ia berfikir tentang
maklumat secara umum dan menyelaraskan dengan tiap-tiap seorang menurut
keadaan tubuhnya. Juga seorang ahli nujum, ia hanya belajar ilmu nujum
secara umum sahaja, kemudian ia berfikir dan memberikan bermacam-macam
ketetapan.
Begitu
juga ahli feqah dan seorang sasterawan dan seterusnya begitu juga yang
terjadi dalam kalangan para pereka barang-barang perusahaan, seorang
pembuat alat bunyian iaitu gambus dapat mereka(mencipta) dengan
fikirannya, manakala yang lain menghasilkan dari alat itu suatu alat
yang lain pula. Begitu juga seluruh barang-barang perusahaan; baik untuk
keperluan badan atau untuk keperluan jiwa pada mulanya didapati
menerusi pengajian dan buat seterusnya dia dapati menerusi fikiran. Apabila
terbukalah pintu fikiran pada jiwa, ketahuilah dia cara jalan berfikir
dan cara menggunakan agakan untuk mencapai tujuan. Maka Qalbu
seseorang menjadi lega dan terbukalah mata dalammnya, lalu keluar apa
yang ada di dalam jiwanya dari kekuatan kepada tindakan tanpa penambahan
usaha pencarian dan kepenatan yang berlanjutan.
Jalan Yang Kedua.
Pengajian Rabbani terbahagi kepada dua bahagia iaitu:
1. Yang Pertama : Pencampakan Wahyu.
Jiwa itu bila telah sempurna zatnya,
- maka hilanglah kekotoran-kekotoran tabiat dan kecemaran loba dan angan-angan.
- Terpisahlah pandangan daripada syahwat keduniaan,
- putus hubungan dari cita-cita yang tidak abadi,
- mengarahkan mukanya kepada pencipta dan penjadiNya,
- bergantung kepada kemurahan penciptaan dan
- berpegang pada kurniaan faedah daripadaNya dan limpahan NurNya.
Manakala Allah Taala pula
- dengan keelokkan 'InayahNya mengarahkan kepada jiwa itu secara keseluruhan,
- memandang kepadanya secara pandangan Ilahi dan
- menjadikan sebagai Luh,
- menjadikan Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul Kulli) sebagai Qalam dan
- menuliskan pada Luh itu seluruh ilmu,
ketika ini Akal Keselurahan (Al-'Aqlu Kulli) menjadi sebagai guru dan Jiwa Suci (Al-Nafsul Qudsiah) [Jiwa suci ialah Jiwa Kenabian yang telah sempurna zatnya] sebagai pelajar, lalu terdapatlah semua ilmu pada jiwa itu dan terukir padanya seluruh rupa tanpa pengajian dan fikiran. Ini dibuktikan kebenarannya oleh firman Allah Taala kepada Nabi SAW. yang bermaksud;
Dan Ia(Allah) telah mengajarkan engkau apa yang engkau tidak tahu. (Surah Al-Nisaa';113)
Oleh
itu ilmu para Nabi lebih mulia tingkatannya dari ilmu seluruh makhluk,
kerana ia didapati terus dari Allah Taala tanpa perantaraan atau
wasilah.
Ini
dapat dlihat contohnya dari kisah kisah Nabi Adam AS. dan malaikat,
Malaikat adalah belajar sepanjang usia mereka dan menerusi berbagai
jalan mereka mendapat banyak ilmu hingga mereka menjadi makhluk yang
paling mengetahui, sedangkan Adam AS. tidaklah Alim, kerana ia tidak
pernah belajar dan tidak pernah menemui seorang guru. Para malaikat
melahirkan kesombongan dan takbur mereka dengan berkata;
"Padahal kami bertasbih dengan memuji-mujiMu dan memuliakanMu(Allah)" {Surah Al-Baqarah;30}.
dan
berkata bahawa kami mengetahui hakikat-hakikat segala suatu. Maka Adam
AS. pun kembali kepada penciptanya, mengeluarkan Qalbunya dari
sifat-sifat makhluk dan mengarahklan permintaan tolongnya kepada Allah
Taala, lalu Allah mengajarkannya seluruh Nama;
"Kemudian
Ia bentangkan tanda-tanda itu kepada malaikat seraya berfirman:
Beritahulah kepadaKu nama-nama benda ini jika kamu adalah benar!" {Surah Al-Baqarah;31}.
Maka
malaikat pun merasa kecil di samping Adam, merasa kurang ilmu mereka
dan pecahlah kepala kesombongan mereka lalu karam dalam lautan
kelemahan;
"Mereka berkata Maha Suci Engkau tidak ada ilmu kami melainkan apa yang telah diajarkan kepada kami" {Surah Al-Baqarah; 32}.
Allah berfirman lagi dengan maksud;
"Hai Adam!.. beritahulah mereka (malaikat) nama-nama benda itu". {Surah Al-Baqarah;33).
Adam AS pun memberitahu kepada mereka beberapa ilmu yang terpendam dan beberapa perkara yang tersembunyi.
Dari
ini jelaslah bagi orang-orang yang berakal bahawa Ilmu Ghoibi yang
tercetus dari jiwa ialah lebih kuat dan lebih sempurna dari ilmu-ilmu
yang didapati dengan usaha(Al-Uluumul Maktasabah). Ilmu Wahyu ini
menjadi pesaka Nabi-Nabi dan kepunyaan Rasul-Rasul. Allah telah menutup
pintu wahyu ini sejak dari zaman penghulu kita Nabi Muhammad SAW. Ia
adalah Rasul Allah SAW. dan Nabi yang penghabisan. Ia adalah manusia
yang paling mengetahui, orang Arab dan 'Ajam yang paling fasih. Nabi SAW
pernah bersabda yang bemaksud;
"Akulah yang paling tahu di antara kamu dan yang paling takutkan Allah Taala".
Ilmunya
lebih sempurna, lebih mulia dan lebih kuat, kerana ia dapati ilmu ini
dari Pengajaran Rabbani dan ia tiada sekali-kali berkecimpung dalam
Pengajian dan Pengajaran Insani. Allah Taala berfirman dengan maksudnya;
"Ia telah diajar oleh kekuatannya bersangatan". {Surah Al-Najm;05}.
2. Yang Kedua : Ilham.
Ilham
ialah pemberitahuan oleh Jiwa Keseluruhan (Al-Nafsul Kulliah) kepada
Jiwa Bahagian (Al-Nafsul Juz'iyah) manusia menurut kadar kemurnian,
penerimaan dan kekuatan persediaan.
Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.
Ilmu
Laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya di
antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah seperti cahaya yang datang dari
lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih, kosong lagi halus(Lathif).
Terjadinya demikian kerana ilmu-ilmu seluruhnya adalah terterap lagi
dimaklumi dalam Jauhar Jiwa Keseluruhan Yang Pertama(Jauharul Nafsul Kulliyatul Uula) yang mana beradanya (jauhar ini) dalam jauhar-jauhar Abstrak Yang Pertama Lagi Mutlak (All-Jawaahirul Mujarridatul Awwaliyatul Mahdhoh) dinisbahkan kepada Akal Pertama(Al-Aqlu Awal) adalah serupa dengan nisbah Hawa kepada Adam AS.
Sesungguhnya telah nyata bahawa Akal Keseluruhan(Al-Aqlul Kulli) adalah lebih mulia, lebih sempurna, lebih kuat dan lebih hampir dengan Allah Taala daripada Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul
Kulliyah) adalah lebih teguh, lebih halus dan lebih mulia daripada
seluruh makhluk. Dari limpahan Akal Keseluruhan tercetusnya Ilham. Wahyu
adalah pakaian Nabi-Nabi dan Ilham adalah hiasan Wali-Wali.
Mengenai
Ilmu Wahyu(Ilmu Nabawi) pula sebagaimana Jiwa bukannya Akal, orang Wali
bukannya Nabi, maka begitu juga Ilham bukannya Wahyu. Ilham adalah
lemah dibandingkan dengan Wahyu, tetapi lebih kuat dibandingkan dengan
mimpi-mimpi(mimpi yang benar), sedangkan ilmu(Ilham atau Ilmu Laduni)
adalah ilmu Nabi-Nabi dan Wali-Wali.
Adapun
Ilmu Wahyu hanya khas untuk Rasul-Rasul, terbatas setakat mereka sahaja
seperti Ilmu Nabi Adam dan Nabi Musa AS., Nabi Ibrahim dan Nabi
Muhammad SAW. dan Rasul-Rasul yang lain. Perbezaan di antara "Kerasulan"
dan "Kenabian" terletak pada bahawa
- "Kenabian" itu ialah penerimaan jiwa suci akan hakikat-hakikat maklumat dan ma'quulah dari Jauhar Akal Yang Pertama dan
- "Kerasulan" ialah menyampaikan maklumat dan ma'quulat itu kepada orang-orang yang mahu mengambil faedah dan yang mahu menerimanya.
Kadang-kadang ada
persesuaian untuk menerima pada jiwa seseorang, tetapi tidak mungkin
hendak disampaikan kerana ada halangan atau sebab yang tertentu.
Ilmu Laduni adalah
untuk ahli Kenabian dan Kewalian bersama, sebagaimana yang terjadi pada
Nabi Khaidir AS. Hal ini ada tersebut dalam firmanNya yang bermaksud;
"Dan Kami telah ajarkan ilmu dari sisi Kami". {Surah Al-Kahfi;65}
Berkata Amir Mukminin Ali bin Abi Talib Karramallaha Wajhu ;
"Aku
memasukkan lidahku ke dalam mulutku(mengunci mulutku) lalu terbuka
dalam Qalbuku seribu pintu ilmu, tiap-tiap pintu terdapat seribu pintu
pula", seterusnya ia berkata, "Andaikan
disuratkan kepadaku suatu bantal dan kududuk di atasnya nescaya ku
dapat menghukumkan ahli Taurat dengan Taurat mereka dan ahli Injil
dengan Injil mereka dan ahli al-Qur'an dengan Qur'an mereka".
Ini
adalah tingkat yang tiada dapat dicapai dengan Pengajian Insani
semata-mata malah dapat dicapai dengan kekuatan Ilmu Laduni. Berkata
lagi Sayyidina Ali lagi dalam menceritakan tentang Kitab Taurat Nabi
Musa AS., bahawa syarah kitab ibi dapat dibawa dengan empat puluh ekor
unta, katanya;
Jika
diizinkan Allah mensyarahkan makna-makna Surah Al-Fatihah(sahaja)
nescaya aku dapat melaksanakannya hingga sampai seperti itu juga".
ertinya 40 bebanan unta.
Kebanyakan, keluasan dan kebukaan dalam ilmu ini tdak terjadi, melainkan ilmu itu adalah Laduni, Ilahi lagi tinggi.
Bila
Allah hendak menjadikan hambanya seseorang yang baik, Ia(Allah)
menyingkapkan hijab di antara ZatNya dan jiwa yang menjadi Luh, lalu
lahirlah pada jiwa itu sebahagian dari rahsia-rahsia yang terpendam dan
tertulis makna-makna segala rahsia yang terpendam ini. Dengan ini
dapatlah jiwanya mengucapkan rahsia-rahsia yang terpendam ini menurut
kehendak kepada sesiapa yang dikehendakinya
Hakikat
hikmah adalah diambil dari Ilmu Laduni, selagi seseorang itu tidak
sampai kepada tingkat ini, tidak dpat dianggap sebagai seseorang yang
HAKIM, kerana hikmah adalah dari kurniaan Allah Taala sebagaimana
firmanNya dalam Surah Al-Baqarah;269 yang bermaksud;
"IA(Allah)
mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki dan sesiapa yang
dikurnia hikmah maka sesungguhnya(bererti) ia telah dikurniakan
kebajikan yang banyak dan tidak akan ingat melainkan orang-orang yang
berfikiran".
Ini
adalah kerana orang-orang yang sampai kepada tingkat Ilmu Laduni tidak
memerlukan penumpahan tenaga yang banyak untuk mendapatkan ilmu dan
tidak penat dalam pengajian. Mereka belajar sedikit dan mengetahui
banyak, berpenat sedikit dan beritirahat banyak.
Ketahuilah
bila Wahyu itu telah terhenti dan pintu Kerasulan telah ditutup,
manusia tidak perlu lagi kepada rasul-rasul dan menyebarkan agama baru.,
kerana segala yang berhubung dengan agama telah lengkap sempurna
sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Maidah;37 yang bermaksud;
:"Hari ini aku sempurnakan agama kamu untuk mu"
dan tidaklah bijak menambahkan lagi faedah tanpa hajat.
Ada
pun pintu Ilham tidak tertutup, perbekalan Nur Jiwa Keseluruhan(Al
Nafsu Kulliah) tidaklah terhenti, kerna berlanjutan keperluan jiwa-jiwa
kepada penguatan, pembaharuan dan pengingatan. Manusia tidak memerlukan
rasul-rasul, tetapi kerana mereka tenggelam dalam was-was dan syahwat
mereka memerlukan pengingatan dan penyedaran. Oleh itu Allah Taala
mengunci pintu Wahyu dan membuka pintu Ilham sebagi rahmatNya. Ia
menyiap dan menyusun segala-galanya supaya manusia tahu bahawa Allah
adalah lembut dengan para hambaNya. mengurniakan rezeki kepada sesiapa
yang dikehendaki tanpa hisab.
Ringkasan Fasal Di Atas
Sebelum
ini telah diterangkan mengenai Ilmu Tasauf sebenarnya termasuk dalam
jenis-jenis ilmu malahan Ilmu Tasauf itu mempunyai sifat-sifat yang
lebih istimewa lagi berbanding dengan ilmu-ilmu lain. Dalam fasal ini
Imam Ghazali akan menerangkan kepada kita bagaimana cara-cara dan kaedah
untuk mendapatkan segala jenis ilmu itu.
Ia membahagikan cara-cara itu kepada dua(2) bahagian penting iaitu;
1. Pengajian Insani dan
2. Pengajian Rabbani
Pengajian Insani adalah dengan dua(2) cara pula iaitu;
1. Dari Luar (Mendapatkan ilmu dengan pengajian biasa)
2.
Dari Dalam (Mendapatkan ilmu dengan berfikir hingga dapat dicungkil
ilmu itu dari batin jiwa iaitu jiwa keseluruhan [An-Nafs Al-Kulli] atau
[Al-Luh Al-Mahfuz], kemudian barulah ilmu itu terukir pada jiwa.
Pengajian Rabbani juga terbahagi kepada dua cara iaitu;
1. Menerusi Wahyu dan
2. Menerusi Ilham.
Kedua-dua
cara ini lebih tinggi tingkatnya dari cara mendapatkan ilmu dari cara
berfikir seperti yang dinyatakan di atas. Wahyu dan Ilham adalah datang
dari Zat Allah dan akal keseluruhan (Al-'Aqlul Kulli) menerusi Jiwa
Keseluruhan (Al-Nafs Al-Kulli), kemudian baru terukir pada jiwa.
Meskipun
kedua-duanya mempunyai saluran yang sama, Wahyu itu lebih tinggi dari
darjahnya daripada Ilham. Wahyu untuk Nabi-nabi dan Rasul-rasul manakala
Ilham untuk Nabi-nabi dan Wali-wali Allah.
Ilmu yang didapati menerusi Ilham inilah dinamakan 'ILMU LADUNI'.
Pintu Wahyu telah tertutup sekarang dan pintu Ilham masih terbuka sebagai rahmat dari Allah.
Fasal
yang seterusnya ialah bahagian yang paling penting yang menjadi tujuan
dari Kitab Al-Risaalatu lid Duniyyah karangan Imam Ghazali. Sila
ikutilah perbincangan seterusnya tentang
[Tingkat Jiwa Dalam Mendapatkan Ilham]
Sila lihat fasal-fasal terdahulu
[Teori Ilmu] [Keistimewaan Ruh Insani] [Bahagian Ilmu] [Asal &Kedudukan Ilmu Tasauf]
Semoga Allah Memberi Taufiq Dan Hidayahnya
|
Sebarang Kesamaran Sila Rujuk Kepada Mereka Yang Ahli
Dalam Ilmu Ini
|