Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan zatnya
[bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir ilmu
yang tersusun yang di dalamnya terdapat seluruh hal-ehwal dua ilmu yang
tunggal. Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal
mereka. Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun - dari dua ilmu.
Ilmu mereka terdiri dari
- Hal,
- Waktu,
- Samaa',
- Wujdan,
- Sheikh,
- Sakr,
- Sohwu,
- Isbat,
- Mahwu,
- Fakir,
- Fana,
- Wilayah,
- Irodah,
- Murid
- dan apa yang berhubung dengan Hal Ehwal mereka serta tambah-tambahannya, sifat-sifat dan makam-makam.
Penerangan petikan di atas oleh penterjemah iaitu Abdullah
bin Muhammad (Naqula) - dari dua ilmu
Louis Gardent dan G.Anawati dalam buku mereka "Falsafah
Al-Fikr Al-Din" menganggap ayat ini sebagai mengandungi teka-teki yang
sukar untuk deselesaikan. Mereka bertanya: Apakah gerangan maksud "dua
ilmu" yang disebut oleh Imam Ghazali? Ia menyebut Ilmu Aqli tetapi tiada
menyebut yang satu lagi. Meskipun demikian, berat kemungkinan bahawa ia
maksudkan Ilmu Syari'i di mana Ilmu Tasauf merupakan satu cantuman di antara
dua ilmu itu. Nampaknya bukan begini, asas pembahagian 'duaan'
"Akal-Syarak" adalah menurut kadar "dunia-akhirat".
Kita dapati di antara Ilmu-ilmu Aqliah ada pula ilmu-ilmu
yang tujuannya ialah akhirat, seperti makrifat Qalbu-Qalbu dan makrifat Allah,
sebagaimana ilmu-ilmu Syaria'ah ada pula Ilmu Fekah yang mengambil berat dalam
urusan-urusan dunia (Falsafah Al-Fikr Al-Din penggal 1, muka 212).
Berhubung dengan ilmu yang tersusun ini, meskipun Imam
Ghazali tidak menerangkan dengan jelas, kita dapat mengenainya dalam kitabnya
"Al-Ahyaa' ketika menerangkan tentang "hakikat fikiran dan
buahnya". Menurut keterangannya bahawa fikiran (Al-Fikr/Takakur) adalah
bererti mendatangkan dua makrifat dalam Qalbu untuk untuk menghasilkan makrifat
yang ketiga. Dengan ini bermakna bahawa Ilmu Aqli yang berasaskan akal
semata-mata itu mengandungi dua ilmu yang tersusun yang melahirkan ilmu yang
ketiga.
Bila ilmu yang ketiga ini telah didapati dengan erti telah
terterap pada Qalbu,
- suatu perubahan pada 'hal Qalbu' terjadi yang menyebabkan
- berubahnya pula tindakan-tindakan anggota.
- Jadinya dengan "fikiran" menerusi sistem duaan itu menelurkan "ILMU".
- Ilmu ini menelurkan pula "HAL"
- dan hal menelurkan "Tindakan" (Al 'Amal atau Al-Fi'li) [lihat Al-Ahyaa' penggal 4 muka 412-413].
Meskipun Ilmu 'Aqli itu sendiri mengandungi dua ilmu yang
tersusun dalam dirinya, ia adalah tetap tunggal dipandang dari segi Akal; iaitu
hasil daripada akal semata-mata.
Di atas Imam Ghazali berkata bahawa daripada Ilmu 'Aqli
lahir ilmu yang tersusun iaitu ilmu ahli-ahli Tasauf. Bagaimanakah cara
lahirnya ilmu yang tersusun dari Ilmu 'Aqli itu ??
Caranya begini; andaikata menerusi akal seseorang mendapat
ilmu yang tiada ragu-ragu lagi bahawa "sampai kepada Allah" adalah
modal yang paling penting untuk hidup di dunia dan di akhirat. Ini adalah Ilmu
'Aqli. Bila ilmu ini terterap pada Qalbu, ia mengubahkan "hal Qalbu" yang
menyebabkan ia melakukan "Tindakan" mencari "Ilmu Tentang
Cara-cara Beramal" atau "Ilmu Ibadat" sebagai jalan untuk sampai
kepada Allah itu dan ahirnya ia mendapatinya. Sekarang nampaklah fungsi Ilmu
'Aqli itu.
Kita bicarakan pula tentang hasil daripadanya "Ilmu
Tentang Cara-cara Beramal" itu merupakan satu ilmu yang tunggal. Ia tidak
menghasikan apa-apa kalau tidak diamalkan. Bila ia diamalkan, datanglah "WARID-WARID"
iaitu makna-makna(Maani) yang datang dari Alam Malakut ke atas Qalbu. Bila satu
warid terterap pada Qalbu, ia mengubahkan "Hal Qalbu". Perubahan-perubahan
pada hal Qalbu oleh Warid-warid ini melahirkan beberapa sifat Qalbu seseorang.
Sifat-sifat ini jika sebentar sahaja dinamakan "HAL" dan kiranya ia
menetap dinamakan "MAQAM".
Yang dinamakan hal itu ialah seperti
- Al-Qabd dan Al-Basith,
- Al-Jami' dan Al-Farq,
- Al-Fana dan Al-Baqa,
- Al-Shohu dan Al-Syakr,
- Al-Mahw dan al-Isbat,
- Al-Tamkin dan lain-lain lagi.
Yang dinamakan Maqam pula adalah seperti
- Wara',
- Zahid,
- Fakir,
- Sabar,
- Syukur,
- Redha,
- Khauf,
- Roja',
- Tawakkal dan lain-lainnya.
Meskipun demikian, kadang-kadang "Hal" dianggap
sebagai "Maqam" dan Maqam dianggap sebagai Hal bergantung kepada
tempoh ia berada pada Qalbu [Lihat Al-Ahyaa' penggal 4 muka 139]' ['Awaariful
Ma'aaruf muka 469-473] dan [Iqadzul Himam muka 24].
Perubahan-perubahan pada "Hal Qalbu" tersebut
melahirkan semacam "Tindakan" pada aggota-anggota dan lidah
seseorang.
- Kalau Warid yang datang atas Qalbu itu bersifat Qabd(Kecut)' lahir ke atas anggota seseorang iaitu diam.
- Kalau Warid yang datang itu bersifat Basith(Lega), lahirlah ke ats anggota iaitu gerak cergas.
- Kalau Warid yang datang bersifat Zahid dan Wara', lahirlah ke atas anggota-anggota iaitu menjauh dan mengundur diri dari kesenangan duniawi.
- Kalau Warid yang datang ke atas Qalbu itu bersifat Mahabbah(Cinta) dan Syauki(Rindu), lahirlah kesan pada lidah iaitu kata-kata yang tiada tertahan yang ganjil dipandang dari segi syara'[Lihat Iqadzul Himam muka 24].
Warid-warid yang datang atas Qalbu itu adalah luas ertinya;
bukan sahaja berupa "makna-makna" yang menimbulkan "HAL-HAL"
dan "MAQAM-MAQAM" seperti yang telah diterangkan, juga ia merupakan "LINTASAN-LINTASAN{KHOWATIR}"
iaitu "Perkataan-perkataan yang dihadapkan kepada Qalbu". Lintasan-lintasan
ini adalah lintasan-lintasan yang terpuji(Khowatir Mahmudah) yang datangnya
dari Malaikat dan Allah yang dinamakan "ILHAM". Juga warid itu itu
merupakan "Hakikat-hakikat dan Ilmu-ilmu yang datang dari sisi Allah"
yang biasa dimasukkan dalam golongan Kasyaf dan Ilham.
Himpunan dari sifat-sifat Qalbu dinamakan
"Hal-hal" dan "Maqam-maqam" dan ilmu-ilmu yang timbul dari
ilham dan kashaf itu semuanya menjadi suatu Ilmu Yang Tunggal iaitu Ilmu hasil
dari amalan. Paduan "Ilmu Tentang Cara-cara Beramal" dan "Ilmu Hasil
Daripada Amalan" itulah dinamakan "ILMU TASAUF" sebagai ilmu
yang ketiga atau sintesis; tetapi kali dilihat semula ke belakang, kepada
asalnya, ia bersumber dari Ilmu 'Aqli juga.
Inilah nampaknya maksud kata-kata Imam Ghazali tadi;
"Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan
zatnya [bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir
ilmu yang tersusun yang dalamnya terdapat seluruh Hal Ehwal dua ilmu yang
tunggal. Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal
mereka. Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun
dari dua ilmu".
Dalam keterangan seterusnya Imam Ghazali mengemukakan
kandungan atau bahagian-bahagian yang membentuk ilmu Tasauf itu dengan menyebut
beberapa contoh yang lebih banyak mengandungi hal-hal(Ahwal) kalau dibandingkan
dengan Maqam-maqam(Maqaamat).
Hal
|
makna-makna yang Warid atas Qalbu tanpa sengaja.
|
Waktu [Waktu]
|
Waktu hal itu terjadi atas seseorang tanpa hubungan dengan
waktu-waktu yang lepas dan akan datang.
|
Samaa' [Taat]
|
Penumpuan Qalbu kepada apa yang terpuji mengikur Syara'
|
Wujdan
|
Hal yang menghaibkan yang ditemui oleh Qalbu kerana
syuhudnya
|
Syauq [Rindu]
|
Kerinduan-kerinduan untuk berlakunya pertemuan-pertemuan
dengan Allah
|
Sakr [Mabuk]
|
Kehilangan kesedaran diri kerana datangnya Warid yang kuat
|
Shohr [Sihat]
|
Sedar kembali selepas kehilangan kesedaran diri kerana
datang Warid yang kuat itu
|
Isbaat
|
Melepaskan hukum-hukum ibadat
|
Mahwu [Hapus]
|
Membuang sifat-sifat(jiwa) yang teradat, ada orang
mengatakan kehilangan 'Ilat(sebab) dan ada yang mengatakan apa yang
dilindungi dan dinafikan
|
Fakir
|
Keadaan tiada memandang sesuatu yang lain daripada Allah,
tidak memerlukan apa-apa selain daripada Allah dan tidak senang hati kerana
pengaruh sesuatu selain dari hudur bersama Allah
|
Fana
|
Penglihatan seorang hamba
kepada 'Ilat (Sebab) dengan mendirikan Allah pada 'Ilat itu
|
Wilayah
|
Berdiri hamba dengan Allah ketika fana dari dirinya, hal
ini terjadi dengan toleh Allah Taala kepadanya hingga ia sampai kepada
matlamat Maqam Qarb(Kehampiran) dan Tamkin(Sampai kepada Allah)
|
Iradat [Kemahuan]
|
Cinta yang menyala dalam Qalbu yang mendorongi untuk
beramal
|
Sheikh
|
Manusia yang sempurna dalam ilmu-ilmu syariat, thorikat
dan hakikat
|
Murid
|
Seorang yang menyingkirkan kemahuannya. Menurut Imam
Ghazali; murid ialah yang berada pada tingakat ASma(Nama-nama Allah) dan
masuk ke dalam golongan orang yang menyerahkan segala-galanya kepada Allah
dengan Isim
|
Sambungan Kitab Al-Risaalatulil-Duniyyah oleh Imam Ghazali
Kami akan bincangkan tentang ilmu yang tiga ini dalam buku
yang khas InsyaAllah Taala. Tujuan kami sekarang hanya membilang-bilang nama
ilmu-ilmu dan jenis-jenisnya sahaja dalam risalah ini dan sudahlah kami
ringkaskan dan membilangnya secara ringkas dan sesiapa yang hendak mengetahui
lebih jauh silalah lihat kitab-kitab yang mengenainya
Setelah selesai menyebut jenis-jenis ilmu, ketahuilah anda
dengan sesungguhnya bahawa tiap-tiap ilmu ini memerlukan beberapa syarat supaya
dia terukit pada jiwa-jiwanya para penentutnya. Oleh itu perlulah diketahui
pula mengenai cara-cara mendapatkan ilmu-ilmu ini seperti yang akan dinyatakan
seterusnyai - [Cara dan
Kaedah Mendapatkan Ilmu]
Ringkasan Fasal Di Atas.
Setelah membincangkan jenis-jenis ilmu itu (dalam fasal
bahagian-bahagian ilmu), Imam Ghazali menyebut pula tentang Ilmu Tasauf sebagai
suatu ilmu yang tersendiri. Walau bagaimanapun is berasal dari Ilmu 'Aqli itu
juga. Ilmu 'Aqli ini sebagai asasnya sahaja. Yang melahirkan Ilmu Tasauf itu
secara langsung ialah ilmu tentang cara-cara beramal yang disertakan dengan
amalan(ibadat). Ilmu tentang cara-cara beramal itu adalah suatu bahagian
daripada Ilmu Syari'i. Jadi Ilmu Tasauf itu selain dari bersangkut dengan Ilmu
'Aqli ia juga bersangkut dengan Ilmu Syari'i. Gabungan dua bahagian ilmu inilah
yang melahirkan Ilmu Tasauf. Dengan kata lain Paduan "Ilmu Tentang
Cara-cara Beramal" dan "Ilmu Hasil Daripada Amalan" itulah
dinamakan "ILMU TASAUF" Tetapi asal Ilmu Tasauf ini lebih jauh lagi
perbincangannya yang melibatkan ilmu yang khas yang melahirkan hal-ehwal ilmu
mereka yang tidak akan ditemui oleh mereka yang tidak mengikuti disiplin
pengajiannya.
Inilah asal dan kedudukan Ilmu Tasauf yang hebat dan
istimewa
Ikutilah fasal seterusnya berkaitan dengan
[Cara dan Kaedah Mendapatkan Ilmu]
Sila lihat fasal-fasal terdahulu
[Teori Ilmu] [Keistimewaan Ruh Insani]
[Bahagian Ilmu]
Semoga Allah Memberi Taufiq Dan Hidayahnya
|
Sebarang Kesamaran Sila Rujuk Kepada Mereka Yang Ahli
Dalam Ilmu Ini
|